Faye Kusairi lumpuh sebelah muka ketika sarat mengandung
Nurul Huda Abhar
PELAKON Faye Kusairi yang kini sarat hamil 38 minggu mendapat serangan penyakit Bell’s Palsy atau simptom lumpuh otot muka, Jumaat lalu.
Faye berkongsi detik di mana dia mendapat serangan penyakit itu ketika menggosok gigi.
Menurutnya, sebelah wajahnya lumpuh sejak Jumaat lalu, namun sudah dibenarkan pulang ke rumah selepas mendapatkan rawatan di sebuah hospital.
“Alhamdulillah saya telah dibenarkan pulang. Saya dimasukkan ke hospital pada minggu lalu selepas disahkan mengalami serangan Bell Palsy ketika menggosok gigi.
“Saya masih belum sembuh sepenuhnya, namun masih dalam progress untuk pulih. Separuh muka di bahagian kanan saya lumpuh sejak Jumaat lalu dan telah menjalani rawatan dengan pakar neurologi.
“Sekarang saya dapat menggerakkan sedikit otot muka saya. Syukur alhamdulillah,” katanya menerusi hantaran di Instagram, semalam.
Faye atau nama sebenar Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada yang sentiasa bertanya khabar dan memberitahu akan berehat di rumah kerana kini sarat mengandung.
“Memandangkan saya kini hamil 38 minggu, saya meneruskan rawatan dan berehat di rumah.
“Mohon doakan kesihatan saya diteruskan dengan baik dan dipermudahkan serta cepat sembuh,” ujarnya lagi.
Bell’s Palsy adalah satu kelemahan otot muka disebabkan oleh kekejangan pada urat muka. Ia berlaku secara tiba-tiba, biasanya di sebelah muka. – Malaysiapost
Link: https://www.instagram.com/p/CIhw_B8B6EF/?igshid=1dl3lu47cxbhu