Lumpuh otot muka: Faye Kusairi makin pulih
Nilam Oshman
PELAKON, Faye Kusairi yang menghadapi penyakit Bell’s Palsy atau simptom lumpuh otot muka Jumaat lalu, memaklumkan keadaannya kini semakin pulih selepas menjalani beberapa rawatan.
Menerusi Intagramnya, Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi berkata, dia baru sahaja berjumpa doktor bagi menjalani rawatan neurologi dan keadaan kelihatan positif serta meminta peminat tidak bimbang.
“Jangan risau, saya tak murung. Saya tak sedih malah bersyukur diberikan rezeki ini untuk sentiasa tahu yang Allah SWT sayangkan saya sebab itu Dia bagi saya pengalaman ini untuk sentiasa muhasabah diri.
“Kepada yang mengalami masalah sama seperti saya, saya harap semua jangan sedihlah ya. Sentiasa positif macam saya, ada yang sembuh cepat, ada sembuh lambat. Pokok pangkalnya, kita akan sembuh jika sentiasa positif dan rajin berusaha memperbaiki diri. Insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, isteri kepada pengarah, Azmi Hatta itu memaklumkan menerima banyak mesej daripada pengikutnya yang mempunyai penyakit sama dan mereka berkongsi petua.
“Saya perasan ramai yang DM (mesej) mengatakan mereka juga pernah dan sedang menghadapi Bell’s Palsy ini.
“Ada yang berkongsi tips utk ke akupunktur. Insya-Allah saya akan cuba juga. Sebab saya buat video ini kerana saya sedar betapa risaunya orang ramai terhadap kondisi saya sekarang dan mungkin dapat membantu tingkatkan keyakinan serta menyuntik sedikit positif kepada yang menghadapi Bell’s Palsy atau mana-mana penyakit.
“Jangan risau sangat, jangan stres. Percaya diri kita akan sembuh dan jangan berhenti untuk berusaha.
“Selagi bernyawa, kita positifkan diri untuk terus sembuh. Jangan malu dengan keadaan kita. Sama juga jangan riak bila diberi rezeki kesihatan, badan yang mantap, muka cantik dan sebagainya. Sentiasalah bersederhana!
“Saya akan cuba kongsi lebih video and kemaskini perkembangan saya ya (kalau larat). Maklumlah.. dah nak masuk 39 minggu kehamilan,” tulisnya.
Jumaat lalu, Faye berkongsi detik di mana dia mendapat serangan penyakit itu ketika menggosok gigi.
Sebelah wajahnya lumpuh, namun sudah dibenarkan pulang ke rumah selepas mendapatkan rawatan di sebuah hospital. – Malaysiapost