Foodpanda didakwa tindas vendor, lewat lunas bayaran

Foodpanda didakwa tindas vendor, lewat lunas bayaran

Nilam Oshman

PERSATUAN Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) hari ini meminta penjelasan Foodpanda Malaysia (Foodpanda) terhadap permasalahan dihadapi oleh peniaga atas talian (vendor) yang menggunakan perkhidmatan aplikasi berkenaan.

Pengerusi Penghantar, Zulhelmi Mansor berkata, beliau mewakili pihak vendor yang dianiaya oleh syarikat penghantaran makanan berkenaan mahu perkara itu diselesaikan.

“Kalau kita lihat, isu ini menjadi semakin besar walaupun vendor tersebut bukanlah ‘rider’.

“Tetapi mereka adalah pihak yang bekerja keras mencari rezeki dan ianya juga sebagai punca pendapatan kepada ‘rider’ .

“Kerana itu, kita memandang serius dan komited menyuarakan permasalahan tersebut,” katanya.

Katabya, pihak penghantar telah berkunjung ke syarikat terbabit namun tidak dilayan walaupun sudah membuat temu janji minggu lalu.

Bagaimanapun, wakil Foodpanda memberi respon dengan mengatakan ‘tiada komen’ berkaitan isu itu.

Mengulas lanjut, Zulhelmi berkata, terdapat tiga isu besar iaitu yang pertama adalah caj tersembunyi.

“Kedua, isu lewat pembayaran pada vendor-vendor ini.

“Sepatutnya standard seminggu dah dapat pembayaran tetapi ada komen-komen yang kita terima tiga minggu, sebulan hingga tiga bulan baru dapat (pembayaran) dan tertunggak sehingga beribu-ribu.

“Jadi macam mana dengan keadaan pandemik Covid-19 sekarang ini, ia seperti Foodpanda menganiayai dan menindas vendor-vendor ini,” katanya.

Beliau menambah, isu yang ketiga pula, promosi yang tidak telus.

“Jika ikutkan promosi-promosi yang diberikan Foodpanda ini boleh buat pilihan tetapi bila kenyataan sampai mengatakan caj promosi akan dikenakan,” katanya.

Sehubungan itu, Zulhelmi turut meminta pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk campur tangan bagi membantu menyelesaikan masalah ini dengan segera. -Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen