PRU-15: Takiyuddin nafi tanding di Kedah

SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan hari ini menafikan khabar angin mendakwa beliau akan bertanding di Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata, pihaknya sendiri tidak tahu menahu mengenai khabar angin tersebut.

“Tidak adalah, saya tak pernah sebut pun, pergi tanya orang yang sebut tu. Kita pilihan raya pun tak tahu bila lagi,” katanya seperti dilapor Utusan. 

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, PAS ketika ini dalam proses rundingan mengenai kedudukan kerusi dengan semua parti di bawah Perikatan Nasional (PN).

“Kita masih mengadakan rundingan antara semua parti di bawah kerajaan PN termasuk Barisan Nasional dan GPS. Berdasarkan perjumpaan, ada 16 parti gabungan di seluruh negara.

“Jadi perundingan sedang dijalankan dalam gabungan ini dan untuk pembahagian kerusi sebaiknya kita berusaha mengelak daripada pertembungan tiga penjuru yang merugikan kerajaan sekarang,” katanya. -Malaysiapost

Komen