Jadilah intelektual, pendakwah yang dibanggakan umat Islam

Jadilah intelektual, pendakwah yang dibanggakan umat Islam

SEMPENA tahun 2021, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mahu pendakwah daripada rancangan realiti tv memulakan buku baharu dengan menjadi intelektual muslim dan ikon belia yang dibanggakan umat Islam di Malaysia.

Nasihat itu diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu ketika menerima kunjungan pendakwah daripada rancangan realiti tv Imam Muda, Pencetus Ummah dan Dai Milennia, hari ini.

“Tidak ada apa-apa yang ingin nasihat melainkan saya berpesan kepada mereka untuk tetap di atas jalan yang diredhai Allah.

“Dunia dakwah hakikatnya tidak sekadar apa yang dizahirkan di Instagram, Facebook, Twitter hatta TikTok. Realiti di luar sana jauh lebih berat dengan 1001 cabaran yang menanti.

%Populariti, kemasyhuran dan pujian hanya nikmat sementara yang amat ditakuti para salafussoleh,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada barisan pendakwah yang sedang menyambung pengajian peringkat Sarjana dan PhD, serta yang telah memilikinya.

“Itu adalah sejuzuk tanda komitmen anda kepada ilmu.

“Tekunilah kitab Thaqafah al-Da’iyyah oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Humum Da’iyyah oleh Syeikh Dr. Muhammad al-Ghazali.

“Sibukkan diri kita dengan melengkapkan diri dengan ilmu dan amal kerana anda telah mewaqafkan diri anda untuk ummah,” katanya.

Antara yang hadir ialah Imam Muda (IM) Asyraf, IM Hizbur, IM Hassan, IM Fakhrul, Pencetus Ummah (PU) Riz, PU Salman, PU Hafiz, PU Rahmat, PU Amin, PU, Akram, PU Syed, Dai Fuad, Dai Aiman, Dai Hazman, Dai Afiqah dan Dai Wan. – Malaysiapost

Komen