Wanita selayaknya dihormati bukan dieksploitasi

Wanita selayaknya dihormati bukan dieksploitasi

Nasrudin Hassan

SAYA telah menerima maklum balas dari pasukan pemantau bahawa pertandingan ‘Miss Plus World Malaysia’ yang berlangsung pada 2 Januari 2021 tempohari di sebuah hotel dalam wilayah Putrajaya telah melanggar beberapa perkara:

a) Pertandingan seperti ratu cantik itu telah melanggar janji yang dibuat sendiri oleh pihak penganjur kepada JAKIM pada 31 Disember 2020 yang lalu bahawa kononnya pertandingan ini tidak akan melibatkan peserta dikalangan wanita muslimah.

Sebaliknya peserta yang beragama Islam hanya akan menjadi pemerhati di meja VIP.

b) Pertandingan sebegini nyata bercanggah dengan fatwa Wilayah Persekutuan yang telah diwartakan pada 8 February 1996 yang lalu.

Fatwa tersebut : “Adalah haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai atau menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik”

  1. Bukan sahaja tidak jujur, tetapi penganjur pertandingan ini juga dilihat cuba mencabar pihak berkuasa agama dan kerajaan apabila mereka melanggar janji yang mereka sendiri lafazkan, apatah lagi turut melanggar fatwa Wilayah Persekutuan yang telah diwartakan.
  2. Yadim terlebih dahulu telah mengambil langkah awal dengan memberi peringatan dan bantahan kepada pihak penganjur agar pertandingan itu tidak dianjurkan.

Kemudiannya terdapat pihak lain juga turut mengambil langkah serupa, lalu membawa pihak penganjur bertemu dengan Jakim dan di situlah janji telah dilafazkan untuk tidak melibatkan peserta yang beragama Islam.

  1. Hari yang dijadualkan berlangsungnya pertandingan ini juga, Yadim sekali lagi mengulangi peringatan dan bantahan sebagai usaha menasihati dan menegur supaya penganjur sekurang-kurangnya mematuhi janji yang mereka sendiri telah lafaz dan persetujui.
  2. Peringatan dan nasihat YADIM ditempelak begitu sahaja. Janji mereka tehadap pihak berkuasa agama seperti Jakim juga dirempuh tanpa rasa bersalah.
  3. Justeru itu, saya menyarankan agar pihak kerajaan melalui pihak berkuasa agama mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan penganjuran aktiviti sedemikian kerana ia nyata melanggar peraturan dan undang-undang apabila mereka menyanggahi fatwa yang telah diwartakan serta janji yang telah dimeterai.
  4. YADIM tegas untuk menyeru, membimbing dan memandu masyarakat agar kembali kepada perlaksanaan cara hidup Islam dari kalangan umat Islam dalam negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan ini.
  5. Sementara itu, YADIM juga melaksanakan tanggungjawab mencegah kemungkaran dan ia sebahagian dari urusan dakwah yang dikendalikannya.
  6. Yadim bukan agensi penguatkuasa yang mempunyai autoriti membuat tangkapan dan pendakwaan, namun sebagai sebuah Yayasan Dakwah, Yadim tetap bertanggungjawab untuk menegur, menasihati dan mengajak masyarakat Malaysia agar tidak menganjur dan melibatkan diri dalam sebarang bentuk aktiviti yang mengundang murka Allah SWT.
  7. Pertandingan ratu cantik samaada untuk wanita langsing atau wanita bersaiz besar, wanita berkerjaya atau wanita suri rumah, wanita berbakat atau wanita biasa, tetap memberi makna “mengeksploitasi atau memperdagangkan” kecantikan, maruah dan nilai diri wanita tersebut dipasaran terbuka dan murah pula harganya.
  8. Selayaknya kaum wanita, meskipun dalam apa bentuk kategori tidak diperagakan kepada awam seperti “menjual” harga diri untuk nilaian harga oleh mata keranjang kaum lelaki yang tidak berhak ke atasnya. Kemudiannya diberi “hadiah” atas pendedahan aurat dan peragaan tubuh setelah ianya diratah oleh mata yang lahap.
  9. Yadim menyeru seluruh wanita muslimah yang masih ada meskipun sekelumit iman, apatah lagi muslimah yang imannya membara, agar bangkit untuk menamatkan gerakan mengeksploitasi wanita. Sampai bila wanita muslimah harus diperlakukan begini. Mana maruah wanita muslimah ? Bangkitlah ! jangan biarkan wanita menjadi hidangan nafsu lahap yang tidak bertepi.

‘Mengangkat Martabat Wanita Bukan Mengeksploitasi’.

Penulis adalah Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Komen