Giliran Nazri tarik sokongan pada PM

Giliran Nazri tarik sokongan pada PM

Najamuddin Mohd Nor

AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini mengumumkan menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menjadi Ahli Parlimen Umno ketiga berbuat demikian selepas Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang).

Dalam sidang media di ibu negara sebentar tadi, Mohamed Nazri yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Rengas berkata beliau memutuskan demikian setelah mendapat mandat berkenaan daripada bahagiannya.

“Atas mandat oleh bahagian saya, Padang Rengas dan mandat Majlis Kerja Tertinggi (MPT) Umno, maka hari ini saya Nazri Aziz, ketua bahagian dan Ahli Parlimen Padang Rengas dengan ini dan rasminya menarik sokongan kepada Muhyiddin.

“Ini adalah satu keputusan yang saya fikir lama dan saya buat keputusan ini kerana ini terbaik untuk parti saya,” katanya.

Mohamed Nazri berkata usul tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu sudah menjadi pendirian Umno dan diterima oleh MKT.

“Tapi saya dapat tahu dan jadi realiti hari ini
kemungkinan Perhimpunan Agung Umno tidak dapat diadakan pada 31 Januari ini, sebab itulah saya ambil keputusan buat pengumuman (tarik balik sokongan),” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan, berkata usul memutuskan hubungan dengan Bersatu sambil mempertahan kerjasama dengan PAS akan dibawa ke Perhimpunan Agung Umno, hujung bulan ini.

Ia bagi membolehkan usul itu diputuskan di peringkat tertinggi parti sebagaimana peruntukan Perlembagaan parti. – Malaysiapost

Komen