Hamzah Zainudin pula positif Covid-19

Hamzah Zainudin pula positif Covid-19

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin disahkan positif Covid-19 awal pagi tadi, susulan ujian saringan yang dilakukan beliau semalam.

Beliau adalah menteri Kabinet ketiga disahkan positif wabak itu selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Ketiga-tiga mereka adalah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pejabat Menteri Dalam Negeri menerusi kenyataan memaklumkan Hamzah akan menjalani tempoh kuarantin mengikut saranan dan pemantauan rapat oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sepanjang tempoh rawatan dan kuarantin tersebut, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan terus memantau dan memastikan segala urusan kementerian berjalan dengan lancar dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, semua kontak rapat beliau bermula 8 Januari hingga 11 Januari 2021 dimohon tampil ke pusat saringan Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk melakukan saringan Covid-19 mengikut saranan KKM.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesembuhan dan memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul atas perkembangan itu. – Malaysiapost

Komen