Kes Covid-19 meningkat, banjir sebab Proklamasi Darurat dilaksana – PM

Kes Covid-19 meningkat, banjir sebab Proklamasi Darurat dilaksana – PM

Nurul Huda Abhar

TAN Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan berikutan peningkatan mendadak kes harian Covid-19 dan terdapat beberapa negeri sedang mengalami banjir yang mengancam keselamatan dan ekonomi rakyat.

Perdana Menteri berkata kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat dan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dalam masa terdekat.

“Oleh itu kerajaan perlu mempunyai kuasa tertentu bagi memastikan wabak ini dibendung dengan lebih berkesan dan perkhidmatan kesihatan yang disampai tidak lumpuh.

“Setelah mempertimbangkan nasihat Jemaah Menteri, Seri Paduka Baginda berpuas hati dengan adanya keperluan untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat.

“Ini bagi membolehkan ordinan dimashyurkan di bawah Fasa 2(b) Perkara 150 bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu untuk mengekang dan menghalang berlaku Covid-19 dengan lebih serius,” katanya dalam Pengumuman Khas Darurat hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Seri Paduka Baginda turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait. – Malaysiapost

Komen