PKP: Misi bantu golongan terkesan diteruskan – Dr Zulkifli

PKP: Misi bantu golongan terkesan diteruskan – Dr Zulkifli

KERAJAAN komited meneruskan misi Muasaadah Covid-19, iaitu menawarkan bantuan kecemasan kepada mereka yang terjejas pendapatan dan tidak menerima Bantuan Kewangan Bulanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ia bagi membantu mereka yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua yang bermula tengah malam ini.

“Saya ingin umumkan yang saya komited untuk meneruskan misi Musaadah Covid-19. Kebajikan rakyat dalam tempoh yang getir ini tetap menjadi keutamaan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.

Beliau berkata, pada masa sama fokus kelompok sasar 2021 bagi bantuan tersebut turut diperluaskan kepada mangsa banjir, selain 12 kelompok sasar sedia ada.

Menerusi usaha itu, katanya, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Wakaf Malaysia adalah antara agensi yang memainkan peranan penting dalam menyantuni mangsa banjir.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP di enam negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Sabah bermula esok hingga 26 Januari.

Sementara itu, Dr Zulkifli berkata sepanjang Mac hingga Disember 2020, agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengagihkan RM363.5 juta kepada 12 kelompok sasar.

Katanya, bermula Januari hingga November 2020, MAIWP telah mengagihkan RM623.6 juta kepada para asnaf di Wilayah Persekutuan.

“JAWI melalui Dapur It’am telah menyediakan juadah makan tengah hari untuk asnaf, B40 dan barisan hadapan di masjid-masjid terpilih dalam Wilayah Persekutuan sejak Ramadan tahun lalu dan berterusan sehingga ke hari ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen