Pulihkan fungsi Perlembagaan, demokrasi berparlimen sejurus darurat capai matlamat

Pulihkan fungsi Perlembagaan, demokrasi berparlimen sejurus darurat capai matlamat

UMNO berharap usaha harus dilakukan untuk segera mengembali dan memulihkan fungsi Perlembagaan dan amalan demokrasi berparlimen, sejurus darurat yang diproklamasikan mencapai matlamatnya.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang memperkenan pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan sebagaimana nasihat Perdana Menteri.

“Memandangkan rasional yang dikemukakan Perdana Menteri dalam memohon pengsytiharan darurat hanyalah untuk menguruskan pandemik Covid-19, maka segala kuasa di bawah Ordinan Darurat hendaklah tertumpu kepada urusan pengawalan wabak semata-maia.

“Sepanjang darurat berlangsung, Umno berharap prinsip hak asasi manusia, kebebasan sivil, ketelusan dan kedaulatan undang-undang harus tetap dipelihara.

“Kerajaan juga harus memberi jaminan untuk mengambil berat kepentingan rakyat dan mengotakan janji bagi menyelesaikan isu yang menyentuh kelangsungan hidup rakyat terutama mengenai tuntutan berkenaan pengeluaran i-Sinar KWSP tanpa syarat, lanjutan moratorium dan kemaslahatan rakyat secara keseluruhannya,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Dalam perutusan khas sebentar tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Bebas yang akan ditubuhkan memperakukan bahawa Covid-19 telah reda atau pulih sepenuhnya.

Perdana Menteri berkata semua pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan dalam tempoh darurat berkuat kuasa.

Malah, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga tidak akan bersidang. – Malaysiapost

Komen