6 YB positif Covid-19 dalam tempoh 5 hari

6 YB positif Covid-19 dalam tempoh 5 hari

Muhammad Mustakim Ramli

TIMBALAN Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang disahkan positif Covid-19 hari ini menjadikan beliau adalah ‘Yang Berhormat’ (YB) keenam dijangkiti pandemik itu dalam tempoh lima hari.

Daripada enam YB yang positif Covid-19, lima daripadanya termasuk Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar menerima rawatan di hospital, manakala seorang YB lagi menjalani kuarantin sendiri.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff disahkan positif Covid-19 pada 9 Januari dan beliau kini menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai di Kelantan.

Ia diikuti Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada 10 Januari lalu dan Menteri Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri itu menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu di Kelantan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun pula menjadi YB ketiga positif Covid-19 apabila disahkan dijangkiti pada 11 Januari lalu dan kini beliau menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Adun Galas, Mohd Syahbuddin Hashim juga menerima rawatan hari yang sama di HSIP selepas membuat saringan susulan Adun Neggiri positif Covid-19, dua hari sebelum itu.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjadi YB tunggal yang menjalani kuarantin sendiri selepas positif pandemik itu, semalam. – Malaysiapost

Komen