9 Ahli Parlimen PH tak setuju keputusan DBKL tutup taman awam

9 Ahli Parlimen PH tak setuju keputusan DBKL tutup taman awam

Muhammad Mustakim Ramli

AHLI Parlimen Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tidak bersetuju dengan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup kesemua taman awam berkuatkuasa serta-merta sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi satu kenyataan, sembilan Ahli Parlimen PH berpandangan langkah yang diambil DBKL tidak selari dengan ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ucapan Perdana Menteri semalam bahawa pengasingan diri untuk satu tempoh yang lama boleh memberi tekanan terhadap kesihatan mental dan rakyat diberi kebenaran meninggalkan rumah untuk beriadah dengan anggota isi rumah sahaja serta dibenarkan menjalankan aktiviti sukan seperti joging atau berbasikal.

“Bagi warga Kuala Lumpur, taman-taman awam adalah lokasi paling sesuai, terkawal dan selamat untuk menjalankan aktiviti riadah mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Malah kesemua taman awam ini terletak berhampiran atau bersebelahan dengan kawasan-kawasan perumahan,” kata kenyataan berkenaan.

Mereka dalam pada itu berharap demi keselamatan serta kesihatan mental warga Kuala Lumpur, memohon DBKL mempertimbang semula keputusan itu dan segera berbincang dengan MKN untuk menetapkan SOP yang ketat bagi membolehkan penggunaan taman-taman awam.

Kenyataan itu dikeluarkan Tan Kok Wai (Cheras), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Teresa Kok (Seputeh), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju), Hannah Yeoh (Segambut), Lim Lip Eng (Kepong) dan P Prabakaran (Batu).

Terdahulu, media melaporkan semua taman awam di bawah seliaan DBKL ditutup kepada orang ramai mulai hari ini hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

DBKL menerusi kenyataan di Facebook rasminya memaklumkan tindakan tersebut susulan PKP yang bermula hari ini hingga 26 Januari ini.

Taman awam seliaan DBKL antaranya ialah Taman Botani Perdana, Taman Awam Bukit Kiara, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Manjalara dan Taman Tasik Metropolitan Kepong. – Malaysiapost

Komen