Annuar nafi bergaduh dengan Presiden Umno

Annuar nafi bergaduh dengan Presiden Umno

AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan tidak wujud sebarang pergaduhan antaraya dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Annuar yang dipecat sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) baru-baru ini, sebaliknya berkata beliau akan terus mengekalkan hubungan baik dengan PAS dan Bersatu, yang diterajui oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tidak mengapa saya disingkirkan. Saya tidak bergaduh dengan presiden (Umno Ahmad Zahid Hamidi).

“Saya akan kekalkan hubungan baik dengan PAS, Bersatu dan PM (Perdana Menteri) serta saya mahu lihat semua parti kembali (bersama),” katanya dalam satu program bual bicara, semalam.

Annuar menambah, beliau tetap dengan prinsip tidak akan berkerjasama dengan DAP dan mana-mana individu yang berkhidmat untuk parti tersebut.

Katanya, apa yang beliau harapkan adalah pergeseran politik yang berlaku dalam gabungan tiga parti utama Melayu iaitu Umno, Bersatu dan PAS dapat ditamatkan.

“Misi saya ialah untuk melihat politik dalam negara ini distabilkan supaya kerajaan boleh berprestasi menyumbang kepada rakyat dan teras kepada kestabilan adalah persefahaman yang perlu dibaiki antara PAS, Umno dan Bersatu.

“Kalau salah satu tidak ada, ia merupakan gabungan yang tempang,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut menggesa gadungan tiga parti berkenaan mengetepikan sentimen peribadi.

Katanya, perkara utama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 adalah politik negera perlu distabilkan dan tidak lagi berlaku Parlimen yang digantung atau permintaan untuk menukar kerajaan.

“Kestabilan itu dengan cara BN, Perikatan Nasional (PN) bekerjasama (dengan) Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Saya yakin ketiga-tiga ini boleh menamatkan kemelut politik yang tidak stabil,” katanya.

Selain itu, Annuar tanpa berselindung menyatakan masalah yang timbul dalam PN berpunca daripada Umno.

“Masalahnya datang dari Umno, GPS no problem. PAS no problem. Parti lain juga no problem.

“Kalau Umno boleh baiki (hubungan dalam PN). Insya-Allah,” katanya lagi. – Malaysiapost

Komen