Empat minggu untuk kurangkan kes – Noor Hisham

Empat minggu untuk kurangkan kes – Noor Hisham

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan sekurang-kurangnya empat minggu bagi mengurangkan bilangan jangkitan Covid-19 di negara ini kepada bawah 1,000 kes baharu sehari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tempoh dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula berkuatkuasa hari ini tidak cukup untuk mengurangkan jangkitan tersebut.

“Pada hemat saya, dalam tempoh dua minggu kita tidak boleh mengurangkan namun boleh mengelakkan kes semakin bertambah,” katanya.

Katanya, berdasarkan unjuran (KKM) lengkungan hanya dapat dilandaikan pada Mei depan.

“Selepas PKP, kita laksanakan PKP Bersyarat (PKPB) dan dalam Mei atau Jun, kita dapat melandaikan lengkungan jangkitan tersebut dengan kes dapat dikurangkan lagi sehingga 500 kes setiap hari,” katanya.

Beliau berkata, dengan pelaksanaan PKP bermula Rabu – hari ini, negara berada dalam landasan yang betul.

“Masih terlalu awal untuk kita lihat untuk mendapatkan unjuran pada bulan April tetapi apa pun kita telah berada pada landasan yang betul,” katanya

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menggesa semua pihak supaya berganding bahu bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memutuskan rantaian Covid-19.

“Kami berharap agar semua pihak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan kalau boleh semua rakyat Malaysia duduk di rumah.

“Kalau terpaksa keluar rumah, pastikan patuhi SOP,” katanya. -Malaysiapost

Komen