Ibu Neelofa mohon maaf isu paten ‘Daging Harimau Menangis’

Ibu Neelofa mohon maaf isu paten ‘Daging Harimau Menangis’

IBU kepada selebriti, Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed memohon maaf di atas kesilapan kata-kata berhubung penggunaan jenama Harimau Menangis keluaran Aunty Tini Kitchen dalam sebuah video yang tular hari ini.

Noor Kartini menerusi syarikatnya, Noor Khan Enterprise berkata, pihaknya tidak pernah menghalang mana-mana individu menjual produk sama selagi tidak menyerupai bungkusan produk yang dipasarkan pihaknya.

Katanya, permohonan paten yang tular itu adalah bertujuan untuk melindungi penggayaan, susun atur grafik, kod warna dan tulisan Harimau Menangis pada bungkusan produk itu.

“Itu adalah bertujuan untuk mengelakkan sebarang produk tiruan dalam pasaran yang boleh menyebabkan masalah kepada jenama pihak kami daripada pengguna di luar sana.

“Pihak kami tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menjual produk sama selagi tidak menyerupai produk yang kami pasarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu tular di media sosial apabila netizen ‘menyerang’ ibu kepada pengacara popular itu selepas tangkap layar permohonannya di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) tersebar.

Tambah panas apabila video yang memaparkan Noor Kartini yang sedang memasak daging harimau menangis itu mengeluarkan kenyataan seolah-olah resipi harimau menangis milik mereka.

Dalam pada itu, Noor Kartini juga menegaskan, pihaknya sentiasa mengamalkan persaingan sihat dalam berniaga.

“Pihak kami juga sentiasa mengamalkan polisi persaingan perniagaan yang sihat,” katanya. – Malaysiapost

Komen