Kem latihan pusat Harimau Malaya batal

Kem latihan pusat Harimau Malaya batal

KEM latihan pusat skuad Harimau Malaya sah dibatalkan susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.

Perkara itu diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dipengerusikan Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Menurut FAM, kem latihan pusat skuad kendalian Tan Cheng Hoe sepatutnya berlangsung dari 16 hingga 25 Januari ini.

“FAM akan melakukan perancangan semula bagi persiapan menghadapi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac nanti,” kata badan induk itu menerusi hantaran di Facebooknya.

Sementara itu, mesyuarat turut mempersetujui dan meluluskan format baharu bagi Piala Presiden, Piala Belia, Liga M3, Malaysia Premier Futsal League (MPFL) dan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) bagi musim 2021.

Selain itu, ia bersetuju untuk menghantar skuad B-19 kebangsaan beraksi pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam pada November ini dan skuad sama akan menjadi pasukan projek atau pembangunan ke arah Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

“Skuad B-19 kebangsaan ini juga akan membawa cabaran Malaysia pada Kelayakan Piala Asia B-23 AFC 2022 yang berlangsung hujung tahun ini, seterusnya dipersiapkan untuk Kelayakan Olimpik 2024 Paris.

“Bagi Piala Suzuki AFF 2020 yang akan berlangsung Disember ini, FAM tetap akan menghantar skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe,” katanya. – Malaysiapost

Komen