Kerana curang, suami terselamat dari nahas kapal terbang

Kerana curang, suami terselamat dari nahas kapal terbang

Gara-gara ingin berasmara bersama buah hati di Bali, seorang suami sanggup menipu isterinya kononnya beliau mempunyai urusan perniagaan di Pontianak.

Lelaki itu telah mencipta helah kononnya dia akan menaiki pesawat Srivijaya Air pada hari Sabtu, 9 Januari yang dijadualkan berlepas dari Jakarta pada pukul 2.00 petang.

Namun keseronokan memadu asmara bersama kekasih gelap tidak berpanjangan apabila lelaki itu menerima berita nahas pesawat yang ‘sepatutnya’ dia naiki telah terhempas di laut berhampiran perairan Kepulauan Seribu, Indonesia.

Memetik daripada laman portal padang.com, tragedi yang telah mengorbankan semua 62 penumpang termasuk 12 krew penerbangan telah menghantui lelaki itu yang dikenali dengan nama Bos Besar.

Apa tidaknya, kaum keluarga, sahabat handai dan jiran tertangga mula berkumpul di rumahnya untuk menyampaikan salam takziah kepada keluarganya dan bersimpati tentang nasibnya yang dikatakan terkorban dalam nahas itu. 

Kisah lucu lelaki tersebut telah menjadi bualan di media sosial dan boleh disaksikan menerusi aplikasi Tiktok yang bernama  @Thojenk mulai Isnin lalu.

“Sekarang dia bingung mahu kembali ke rumah atau tidak, kerana di rumah (isterinya) sudah menyediakan kerusi dan khemah untuk para tamu yang datang untuk berkabung,” tulisnya akaun TikTok tersebut.

Menyedari penipuannya tidak mampu bertahan lama ekoran berita nahas pesawat itu telah mendapat liputan meluas media, lelaki itu akhirnya mengaku bahawa dia tidak ke Pontianak, tetapi sebenarnya ke Bali untuk menemui wanita simpanannya.

Difahamkan, dia ke Bali untuk bercuti dan menyambut ulang tahun dengan kekasih gelapnya.

Dalam pada itu, meskipun sedar telah ditipu hidup-hidup oleh suami, namun isteri lelaki itu tetap melahirkan rasa bersyukur kerana suaminya masih hidup dan bukan salah seorang mangsa nahas tersebut. 

Isteri lelaki itu juga bersyukur kerana di sebalik tragedi itu, akhirnya terbongkar rahsia suami yang baik tetapi bermain kayu tiga di belakangnya.

Kisah lucu ini telah mendapat perhatian netizen di TikTok, rata-rata memberi komen bersyukur kerana akhirnya kecurangan seorang suami telah terbongkar walaupun insiden itu juga menggelikan hati mereka. 

Ada juga yang memberi komen lucu bahawa kepulangan suami itu atau tidak ke rumah, sebenarnya dia sudah  lama dengan isterinya.

Indonesia telah berkabung sejak Sabtu lalu, apabila pesawat  Boeing 737-500 itu telah terhempas ke lautan setelah empat minit berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta Jakarta.-Malaysiapost

Komen