Lelaki kecewa dikompaun walau ikut SOP disaran menteri

Lelaki kecewa dikompaun walau ikut SOP disaran menteri

Muhammad Mustakim Ramli

MENTERI cakap lain, pihak berkuasa pula ambil tindakan sebaliknya. Itu menjadi pertikaian seorang lelaki selepas dia bersama rakan dikompaun RM1,000 kerana dikatakan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Menerusi Facebook, lelaki dikenali Wafi Shaik mendakwa dikompaun RM1,000 kerana tidak memakai pelitup muka kerana berada di taman awam yang kurang dari 10 orang.

Dia mendakwa, tindakan yang diambil terhadapnya tidak adil dan bertentangan dengan apa yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakoob iaitu tidak perlu memakai pelitup muka jika bilangan individu di taman awam sedikit.

“Ini cerita malam semalam, satu peristiwa terjadi yang sangat tidak adil bagi aku.

“Kami dikompaun RM1,000 gara-gara tidak memakai mask bermain belon buih di taman awam yang kurang dari 10 orang,” katanya yang turut menyertakan gambar sebagai bukti.

Menerusi hantaran sama, Wafi memaklumkan ketika kejadian dia berada di situ bersama dua rakan sebelum didatangi polis yang tanpa memberi amaran terus mengenakan kompaun.

Katanya, ketika meminta penjelasan susulan kenyataan Ismail Sabri mengenai pelitup muka, anggota terbabit mendakwa SOP di televisyen adalah berbeza dengan peraturan di balai polis.

“Tak rasa pelik ke kena ikut peraturan yang tidak pernah diberitahu. Cakap peraturan ikut balai-balai je, abistu yang tular segala sosial media tu hanya mitos semata ke?

“Lagi menyakitkan polis tu tak ada explain atau bagi warning, terus kompaun RM1,000.

“Beliau (polis) insist dan paksa kami ke balai polis dengan segera, kami tanyalah kenapa tak bagi denda kompaun on the spot? Buat apa pergi ke balai?,” dakwanya.

Wafi berkata mereka kemudian ke balai polis dan berada lebih dua jam di sana dengan ditanya pelbagai soalan.

“Stress kau kena saman kompaun RM1,000 kot, lagi mahal tiga kali saman trafik!,” katanya.

Menerusi hantaran berbeza hari ini, beliau berkata SOP yang tular di media sosial wajib selari dan menyeluruh, bukannya SOP balai lain dan di televisyen lain.

“Aku masih terkejut dengan statement SOP balai dan SOP di TV lain. Speechless.

“Tidak pernah ada sedikit pun niat aku untuk memburukkan anggota polis, malah aku rasa berterima kasih atas khidmat dan menjadi frontliner untuk kemaslahatan negara.

“Cuma di dalam kes kami, situasi ini sangat tidak adil untuk pihak kami. Aku yakin bukan aku sahaja yang kena, ramai lagi rakyat yang terkena tempias dengan kompaun ini.

“Harapan aku, keluarkanlah SOP yang jelas. Masih ramai yang terkapai-kapai tentang SOP yang tepat,” katanya.

Beliau turut berkongsi video sidang media Ismail Sabri berhubung SOP ketika berada di taman awam ketika tidak sesak sebagai bukti yang mereka mengikut segala SOP yang disaran pihak berkuasa. – Malaysiapost

Komen