Liga M: Semua pasukan di kawasan PKP, PKPB disaran rehat seketika

Liga M: Semua pasukan di kawasan PKP, PKPB disaran rehat seketika

SEMUA pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang berpangkalan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) diseru supaya berehat seketika daripada segala aktiviti bola sepak ketika ini.

Meskipun semua pasukan kini giat membuat persiapan menjelang sepak mula saingan Liga M tidak lama lagi, namun Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin menyeru semua pasukan mematuhi setiap arahan atau prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Kalau kita lihat kejohanan kita belum ada lagi, kita jangka kejohanan seperti Liga Super dan Liga Perdana pada 26 Februari, tapi kita mengikut apa prosedur yang ditetapkan kerajaan semalam.

“Kita tiada pertandingan, hanya latihan. Tapi mereka (pasukan) perlu patuh untuk tidak melakukan latihan, maknanya mengikut prosedur PKP dan PKPB yang diumumkan,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) kali ke-12 bagi penggal 2017-2021 di Wisma FAM.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan enam negeri – Pulau Pinang, Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka dan Sabah dikenakan PKP bermula hari ini hingga 26 Januari ini.

Negeri yang dikenakan PKPB pula ialah Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Pada masa sama, Hamidin menjelaskan FAM dan MFL sudah ada beberapa pilihan bagi melangsungkan kejohanan bola sepak di bawah kendalian masing-masing sekiranya situasi pandemik Covid-19 di negara ini berlarutan.

“Terdapat kemungkinan juga saingan Liga M akan berlangsung dengan format sama seperti tahun lalu sekiranya situasi semasa Covid-19 berterusan.

“Sudah pasti kita akan sentiasa berhubung atau bermesyuarat dengan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) untuk melihat perkembangan ini.

“Tetapi untuk tempoh dua minggu ini, kita kena patuh dan mengikut prosedur yang sudah diarahkan oleh kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

Komen