Masih boleh PRU ketika darurat – Aziz Bari

Masih boleh PRU ketika darurat – Aziz Bari

MESKIPUN Perlembagaan tidak membenarkan Proklamasi Darurat dicabar di dalam mana-mana mahkamah, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan pilihan raya umum (PRU).

Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata, sebelum ini Malaysia pernah mengadakan beberapa siri PRU ketika perintah pelaksanaan darurat.

Menurutnya, PRU pertama negara pada 1955 diadakan semasa darurat apabila tempoh darurat yang diisytiharkan ketika itu antara tahun 1948 sehingga 1960.

Katanya lagi, begitu juga PRU kedua turut diadakan ketika darurat pada 1959 dan ia membuktikan darurat bukan halangan untuk diadakan pilihan raya.

“Darurat secara teknikal iaitu Perkara 150 memberi kuasa yang luas untuk kerajaan melakukan perkara tanpa ke Parlimen ataupun kerajaan boleh buat undang-undang tanpa ke Parlimen atau Parlimen boleh buat undang-undang atas perkara-perkara yang tidak boleh dibuat dalam keadaan biasa. Itu darurat sebenarnya.

“Darurat bukan untuk menggantung pilihan raya. Saya tak pasti kenapa sekarang menjadi satu kefahaman yang begitu. Rakyat Malaysia jangan lupa sejarah.

“Bukan hujah yang kuat darurat ini untuk menidakkan pilihan raya. Jangan ingat darurat ini boleh menutup segala-galanya,” katanya menerusi sesi Facebook Live semalam.

Semalam Yang Di Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pengistiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sehingga 1 Ogos ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula ketika memperincikan pelaksanaan darurat itu berkata PRU15 akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Bebas yang akan ditubuhkan memperakukan bahawa Covid-19 telah reda atau pulih sepenuhnya.

Perdana Menteri berkata Jawatankuasa Bebas itu akan ditubuhkan menerusi kuasa Ordinan yang akan dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi meneliti keperluan dan masa sesuai untuk diadakan PRU.

Beliau berkata, semua pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan dalam tempoh darurat berkuat kuasa, malah Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga tidak akan bersidang.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negari (Adun) Tebing Tinggi berpandangan Yang di-Pertuan Agong perlu menimbang semula keputusan Proklamasi Darurat kerana dibimbangi memberi kesan lebih buruk kepada negara.

Beliau berkata, baginda perlu melihat keabsahan kerajaan yang ada dan meminta penjelasan daripada Perdana Menteri sama ada masih memiliki majoriti atau sebaliknya.

Menurutnya, Proklamasi Darurat itu akan memberi kuasa mutlak tanpa batasan kepada kerajaan yang gagal membuktikan keabsahannya untuk membuat undang-undang tanpa perlu dibentang di Parlimen.

Apa yang dibimbangi, Abdul Aziz berkata, semasa darurat juga tiada unsur semak dan imbang, sehingga kerajaan boleh melakukan apa-apa sewenang-wenangnya.

“Apa yang menjadi masalah kepada darurat ialah kerajaan boleh langgar sekatan-sekatan yang ada dalam Perlembagaan. Itu yang kita risau darurat ini, bukan soal kuasa tentera, soal ketenteraman awam, bukan itu.

“Ini bukan biasa. Dari segi undang-undang, darurat bukan perkara biasa. Yang menjadi masalah, kuasa itu menjadi terlalu luas dan mutlak, tiada batasan. Kita tak boleh nak menyekat sesuatu. Perkara-perkara ini boleh dilakukan secara dekri sahaja oleh kerajaan yang memerintah,” katanya. – Malaysiapost

Komen