Nicol David terharu sokongan rakyat Malaysia

Nicol David terharu sokongan rakyat Malaysia

BEKAS ratu skuasy negara Datuk Nicol David terharu dengan sokongan rakyat Malaysia meskipun tidak lagi beraksi untuk negara.

Menerusi ciapan di Twitternya, Nicol terharu apabila netizen sanggup meluangkan masa mengundi untuknya bagi Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Dunia.

Malah, lebih mengujakan perasaan anak kelahiran Pulau Pinang itu apabila peminat berkongsi maklumat pengundian itu bersama keluarga, rakan serta sokongan media yang masih tidak berubah terhadapnya.

“Beberapa hari kebelakangan ini, saya benar-benar terharu. Anda menawan hati saya dan saya ingin mengembalikan sepenuh hati dengan penuh rasa bersyukur kepada anda semua,” katanya.

Nicol semakin selesa mendahului undian bagi meraih Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia.

Mengikut catatan setakat pagi ini, Nicol telah meraih 143,339 undian bagi anugerah itu yang dianjurkan Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA) sebagai sambutan untuk ulang tahun ke-40 acara sukan dunia.

Penganjuran anugerah itu bertujuan memilih atlet terbaik sepanjang zaman yang pernah beraksi dalam mana-mana edisi sukan dunia yang diadakan buat pertama kalinya di Santa Clara, Amerika Syarikat pada 1981. – Malaysiapost

Komen