Pelan Imunisasi Kebangsaan: Sedikit lewat tetapi setiap aspek diperhalusi sempurna

Pelan Imunisasi Kebangsaan: Sedikit lewat tetapi setiap aspek diperhalusi sempurna

DI sebalik sedikit lewat memulakan program imunisasi bagi vaksin Covid-19 di Malaysia, ia tetap memberi kelebihan, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata, ia membolehkan segala aspek berhubung vaksin, kaedah menguruskan pelaksanaan pelan imunisasi dan logistik diperhalusi dengan lebih sempurna.

Ini katanya, setelah melihat pengalaman pelaksanaan di negara yang bermula lebih awal, begitu juga pemantauan insiden seperti kesan sampingan.

Setakat ini lebih 24 juta dos vaksin Covid-19 telah disuntik kepada penduduk di 41 negara.

“Dari 24 juta yang telah disuntik, ada beberapa kes terpencil disensasikan media.

“Semua kes ini diikuti rapat oleh semua negara yang juga sangat teliti dalam menjaga keselamatan nyawa dan kesihatan rakyat masing masing termasuk Malaysia.

“Setakat ini tiada kes terpencil berkenaan disahkan mempunyai hubungan langsung atau berpunca daripada pengambilan vaksin,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata pakar perubatan masih memperhalusi data yang diterima setiap hari dari bilangan penerima vaksin yang semakin meningkat.

Setakat ini, katanya, vaksin Covid-19 tidak diberi kepada individu berumur bawah 18 tahun, mempunyai alahan serius dan masalah sistem imun dan ibu mengandung.

Ahmad Amzad berkata, Malaysia dijangka menerima sejuta pertama dos vaksin Covid-19 Pfizer pada akhir bulan depan dan ia telah mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM).

Ia sekali gus membolehkan Pelan Imunisasi Kebangsaan dilaksanakan bermula dengan petugas barisan hadapan.

“Dalam mesyuarat jawatankuasa kecil komunikasi di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin kelmarin, saya bertanya kepada Tan Sri Jemilah Mahmood, Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri.

“Jika sebelum ini kita cuma melihat data besar dari ujian klinikal fasa 3 setiap vaksin yang melibatkan antara 10,000 hingga 40,000 orang sukarelawan untuk setiap vaksin Covid-19.

“Hari ini telah ada 24 juta suntikan vaksin dilaksanakan. Kita ada data yang lebih besar,” katanya. – Malaysiapost

Komen