PKP: Taman awam di bawah seliaan DBKL ditutup

PKP: Taman awam di bawah seliaan DBKL ditutup

Aktiviti beriadah seperti berjoging dan berbasikal dengan anggota isi rumah dibenarkan dalam negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tertakluk kepada dua orang saja dan tidak dibenarkan secara berkumpulan.

Bagaimanapun, warga kota tidak dapat melakukan aktiviti riadah itu di taman-taman awam di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepanjang tempoh PKP yang berkuatkuasa sehingga 26 Januari ini.

Ini kerana semua taman awam di bawah seliaan DBKL ditutup kepada orang ramai mulai hari ini hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, menurut DBKL menerusi Facebooknya.

Taman awam seliaan DBKL antaranya Taman Botani Perdana, Taman Awam Bukit Kiara, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Manjalara dan Taman Tasik Metropolitan Kepong.

DBKL turut memaklumkan kaunter bayaran utama dan pandu lalu di Menara DBKL1 serta semua kaunter di sembilan pejabat cawangannya akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 4 petang (Isnin hingga Jumaat) sepanjang tempoh PKP.

Bagi kaunter lesen berpusat di Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan dibuka dari jam 9 pagi hingga 3 petang, terhad kepada 100 pelanggan sehari.

“Bagaimanapun orang ramai digalakkan menggunakan kaedah bayaran secara dalam talian,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

Komen