Red Devils melonjak ke puncak liga

Red Devils melonjak ke puncak liga

MANCHESTER United terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Burnley 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi ini.

United yang melengkapkan baki perlawanan tertangguh, bertandang ke gelanggang lawan dan kelihatan bergelut untuk memecahkan kebuntuan gol pada babak pertama perlawanan.

Anak buah Ole Gunnar Solskjaer terus dihampakan oleh ketangkasan penjaga gol lawan Nick Pope yang beraksi tangkas menafikan beberapa peluang keemasan United.

Akhirnya pada minit ke-70, pemburuan gol United tertunai menerusi jaringan bintang Perancis, Paul Pogba.

Mujur bola yang terbias dari pemain pertahanan Burnley susulan sepakan volley Pogba mampu menerjah ke gawang Burnley.

Gol Pogba itu kekal sehingga tamat perlawanan dan melonjak Red Devils ke puncak liga dengan perbezaan tiga mata mengatasi musuh ketat, Liverpool.

Ini kali pertama musim ini United berada di singgahsana liga selepas 17 perlawanan.

Namun Liverpool berpeluang merampas semula takhta liga apabila kedua-dua pasukan bertembung di Anfield, Ahad ini. – Malaysiapost

Komen