Solat Jumaat, fardu berjemaah di Selangor tangguh, 30 jemaah di WP

Solat Jumaat, fardu berjemaah di Selangor tangguh, 30 jemaah di WP

SOLAT Jumaat dan fardu berjemaah di masjid serta surau di Selangor ditangguhkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad menerusi kenyataan bagaimanapun berkata lima petugas dibenarkan mendirikan solat Jumaat dan fardu di rumah ibadat.

Katanya, penangguhan solat Jumaat melibatkan 425 masjid dan 278 surau kebenaran adalah sehingga diberitahu kelak.

“Arahan penangguhan solat fardu berjemaah juga melibatkan jumlah masjid sama dan 2,025 surau,” kata sambil memaklumkan aktiviti kuliah, ceramah dan tazkirah turut dilarang sepanjang tempoh PKP.

Beliau menambah, pengurusan jenazah boleh dilaksanakan di masjid dan surau namun kehadiran ahli keluarga dihadkan tidak lebih 10 orang.

“Jumlah ini tidak termasuk petugas pengurusan jenazah serta jawatankuasa rumah ibadat yang bertugas,” katanya.

Sementara itu, solat Jumaat di masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan dibenarkan dengan bilangan maksimum 30 jemaah sepanjang tempoh PKP.

Solat fardu lima waktu pula didirikan oleh bilangan maksimum lima orang terdiri anggota jawatankuasa dan pegawai masjid.

Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam satu kenyataan berkata, semua aktiviti pengimarahan adalah ditangguhkan.

“Laungan azan solat fardu lima waktu hendaklah diteruskan seperti biasa selain penubuhan Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) di peringkat masjid, surau Jumaat dan surau.

“Penyediaan ruangan khas solat bagi musafir, pemandu teksi, pemandu e-hailing, penghantar makanan dan seumpamanya.

“Ketetapan ini berkuat kuasa 13 Januari mulai solat fardu Subuh sehingga PKP ditamatkan,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

Komen