Timbalan Menteri Kesihatan langgar PKP lagi?

Timbalan Menteri Kesihatan langgar PKP lagi?

KEMASKINI: Timbalan Menteri memadam gambar di Facebook

TINDAKAN Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menerima kunjungan sekumpulan individu di pejabatnya menimbulkan persoalan sama ada beliau ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan hari ini.

Untuk rekod, Putrajaya terletak antara negeri zon merah yang dikenakan PKP selain dari Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan, Melaka, Johor dan Sabah.

Berdasarkan gambar yang dimuatnaik di Facebook beliau hari ini, terdapat 14 individu termasuk Noor Azmi berkumpul di dalam pejabat berkenaan.

Antara yang dikenal pasti turut berada dalam gambar tersebut, Setiausaha Sulit beliau, yang juga merupakan adik kandungnya, Noor Azman Ghazali.

“Kementerian Kesihatan Malaysia. Kunjung hormat Sahabat Parlimen ke Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan 1,” tulisnya pada keterangan gambar berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali bersama sekumpulan individu di pejabatnya, di Putrajaya.

Ia secara tidak langsung menunjukkan Ahli Parlimen Bagan Serai itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi kawasan yang dikenakan PKP.

Berdasarkan peraturan aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Ini bukan kali pertama Noor Azmi melanggar SOP PKP, di mana pada April tahun lalu tular di media sosial gambar Noor Azmi serta Exco Kerajaan Negeri Perak dan beberapa individu menghadiri satu jamuan di Maahad Tahfiz Quran Lid Dakwah Wal Imamah di Lenggong, Perak.

Susulan itu, beliau didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Gerik, Perak.

Hantaran Facebook Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali bersama sekumpulan individu di pejabatnya, di Putrajaya sebelum dipadam.

Sementara itu, tinjauan Malaysiapost di Facebook Noor Azmi mendapati hantaran berkenaan dipadam.

Malaysiapost sedang berusaha mendapatkan respon Noor Azmi berhubung isu berkenaan.-Malaysiapost

Komen