Umno teliti semula tarikh perhimpunan agung

Umno teliti semula tarikh perhimpunan agung

UMNO terpaksa memikirkan semula tarikh perhimpunan agungnya yang dijadualkan akhir bulan ini susulan pelaksanaan perintah darurat seluruh negara sehingga Ogos depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu perlu meneliti semula keputusan awal dibuat sebelum ini yang menetapkan perhimpunan agung pada 31 Januari ini.

Katanya, parti itu juga perlu menilai perkembangan semasa yang berlaku dalam waktu terdekat ini sebelum membuat keputusan muktamad.

“Kita akan buat keputusan yang sewajarnya dan tunggu perkembangan dalam dua tiga hari lagi,” katanya seperti dilapor BH.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perisytiharan darurat itu dilihat menyekat aspirasi Umno yang mahu kembali mendominasi politik negara dengan menuntut Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dengan segera.

Perhimpunan Agung kali ini mendapat perhatian ramai kerana usul berkenaan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS.

Usul berkenaan diterima dan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) minggu lalu untuk dibahaskan pada perhimpunan akan datang. -Malaysiapost

Komen