Noor Azmi nafi langgar PKP, dakwa pertemuan sebelum PKP

Noor Azmi nafi langgar PKP, dakwa pertemuan sebelum PKP

TIMBALAN Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menafikan laporan Malaysiapost berhubung kunjungan sekumpulan individu di pejabatnya di Putrajaya yang menimbulkan tanda tanya apakah beliau melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula Rabu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan 1, pihak Noor Azmi mendakwa gambar kunjungan tersebut adalah pertemuan yang berlangsung pada 12 Januari sehari sebelum sebelum pelaksanaan PKP.

“Dua portal iaitu MalaysiaPost.Com dan Malaysiakini telah memuat naik artikel tidak benar berkaitan YB Timbalan Menteri Kesihatan 1. Malaysiapost dengan artikel bertajuk ‘Timbalan Menteri Kesihatan Langgar PKP lagi?’ pada 13 Januari 2021.

“Malaysiakini pula dengan artikel bertajuk ‘Timbalan menteri kesihatan padam gambar lepas disyaki ingkar SOP’ pada jam 10.42 malam, 13 Januari 2021.

“Kedua-dua artikel dari portal itu mendakwa YB Timbalan Menteri Kesihatan 1 menerima kunjungan sekumpulan individu di pejabatnya dan mendakwa telah melanggar PKP yang dilaksanakan pada 13 Januari 2021, iaitu hari ini.

“Tulisan dan dakwaan yang dibuat oleh kedua-dua portal tersebut adalah tidak benar sama sekali. Gambar kunjungan tersebut adalah pada 12 Januari 2021 iaitu sehari sebelum perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP diadakan,” kata kenyataan terbabit.

Hantaran di Facebook Noor Azmi pada 13 Januari 2021 sebelum dipadam.

Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan 1 juga turut memohon kedua-dua portal menarik balik tuduhan, dakwaan dan maklumat tidakbenar yang disiarkan dalam portal terbabit dengan segera.

“Dakwaan yang tidak benar sebegitu boleh memberikan persepsi buruk masyarakat terhadap YB Timbalan Menteri 1 dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Malaysiapost melaporkan Noor Azmi menerima kunjungan beberapa individu di pejabatnya yang menimbulkan persoalan sama ada beliau ingkar PKP yang dilaksanakan hari ini.

Ini kerana Putrajaya terletak antara negeri zon merah yang dikenakan PKP selain dari Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan, Melaka, Johor dan Sabah.

Berdasarkan gambar yang dimuatnaik di Facebook beliau hari ini, terdapat 14 individu termasuk Noor Azmi di dalam pejabat berkenaan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia. Kunjung hormat Sahabat Parlimen ke Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan 1,” tulisnya pada keterangan gambar berkenaan.

Ia secara tidak langsung menunjukkan Ahli Parlimen Bagan Serai itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi kawasan yang dikenakan PKP sekiranya gambar berkenaan diambil pada hari ini.

Berdasarkan peraturan aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Bagaimanapun hantaran terbabit dipadam selepas laporan mengenai isu berkenaan disiarkan Malaysiapost.

Malaysiapost menyiarkan gambar berkenaan dan menimbulkan persoalan berdasarkan kepada hantaran Facebook beliau.

Malah, Malaysiapost juga cuba mendapatkan respon Noor Azmi, namun gagal-Malaysiapost

Komen