Covid-19: 4,029 kes baharu paling tinggi direkodkan hari ini

Covid-19: 4,029 kes baharu paling tinggi direkodkan hari ini

Nilam Oshman

KES harian positif Covid-19 baharu di Malaysia hari ini mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu sebanyak 4,029 kes membabitkan 4,021 kes tempatan dan lapan kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah itu menjadikan kes positif di Malaysia kini sebanyak 155,095 kes dengan kes aktif sebanyak 37,126 kes sehingga jam 12 tengah hari 16 Januari.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi sepanjang minggu ini iaitu sebanyak 1,466 kes.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 1,161 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 719 kes dan Sabah sebanyak 449 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, sebanyak 110 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara.

“Ia membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (40 kes), Kluster Tembok Nanas (39 kes) dan Kluster Tembok Gajah (15 kes).

“Manakala Kluster Damai Pelangi (9 kes), Kluster Pagar Siput (4 kes), Kluster Tembok Kemus (2 kes), dan Kluster Pagar Bentong (1 kes),” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 205 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 79 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Serta terdapat pertambahan lapan kes kematian melibatkan warganegara, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 594 kes,” katanya. – Malaysiapost

Komen