Jangan sampai wujud ‘Kluster Taman Awam’ – Zahid

Jangan sampai wujud ‘Kluster Taman Awam’ – Zahid

TINDAKAN kerajaan membenarkan orang ramai beriadah di taman awam sekitar Wilayah Persekutuan dibimbangi tersasar daripada matlamat utama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan keputusan berkenaan yang disifatkan boleh meningkatkan risiko jangkitan.

“Taman awam dibuka semula kepada orang ramai di Wilayah Persekutuan. Katanya dengan SOP yang ketat.

“Persoalannya apa tujuan PKP? Untuk mengurangkan orang ramai ke sana ke sini. Pusingan U paling ‘latest’ ini dibimbangi tersasar daripada matlamat utama PKP,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, Presiden Umno itu berkata, semua pihak digesa supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sekiranya beriadah di taman awam.

“Risiko jangkitan tetap ada kerana kita tidak tahu status kesihatan pengunjung lain. Saya rayu sahabat-sahabat semua jagalah SOP ketat-ketat jika ke taman awam.

“Penjarakan sosial jadi keutamaan. Mencuci tangan dan segala yang perlu dilaksanakan. Kita sama sekali tidak mahu ada ‘kluster Taman Awam’,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, semua pihak perlu sama-sama memainkan peranan dalam membendung penularan jangkitan.

“Kita sama-sama main peranan tamatkan segera PKP ini. Ramai yang sedang terkesan dan menanggung penderitaan,” katanya.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, taman awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibenarkan beroperasi semula.

Beliau berkata, bagaimanapun hanya aktiviti riadah secara bersendirian sahaja dibenarkan setakat ini.

Katanya, pembukaan taman awam itu perlu diselia khususnya dalam aspek pematuhan SOP. -Malaysiapost

Komen