PM perlu jelaskan isu bina dewan bernilai RM35 juta di Pagoh – AMK

PM perlu jelaskan isu bina dewan bernilai RM35 juta di Pagoh – AMK

TAN Sri Muhyiddin didesak supaya tampil memberi penjelasan berhubung kesahihan surat kelululusan yang tular berhubung pelaksanaan projek pembinaan sebuah dewan di Parlimen Pagoh yang didakwa menelan kos RM35 juta.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata adalah tidak menjadi kesalahan kepada rakyat untuk mengetahui mengenai perkara itu.

Katanya, perkara itu perlu dijelaskan memandangkan ia membabitkan kos yang bernilai besar sehingga mencecah RM35 juta.

“Apakah kewajaran pelaksanaan projek pembinaan dewan bernilai lebih RM35 juta ketika negara berhadapan dengan wabak Covid19?

“Kenapa jumlah begitu besar untuk bina sebuah dewan dan kenapa di Pagoh, adakah terdapat kepentingan politik atau peribadi?,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, dalam keadaan negara yang masih berperang dengan penularan Covid-19 adalah lebih wajar sekiranya dana itu diberikan untuk meningkatkan kemampuan petugas barisan hadapan dan rakyat.

“Bukankah lebih elok keutamaan dana diberikan untuk meningkatkan kemampuan frontliners atau mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat menghadapi Darurat dan PKP?,” katanya.

Akmal berkata, Perdana Menteri juga perlu memberi penjelasan bahawa surat berkenaan dikeluarkan pada tarikh sama Proklamasi Darurat diumumkan.

“Benarkah surat tersebut diutus pada tarikh sama ketika Proklamasi Darurat diumumkan YAB Perdana Menteri?

“Adakah ini bermakna ketika Darurat kerajaan Perikatan Nasional boleh bertindak sesuka hati membelanjakan wang rakyat dalam keadaan Parlimen digantung? YAB Perdana Menteri, kami mohon pencerahan,” katanya.

Dalam hantaran sama, Akmal turut mengepilkan dokumen berkenaan yang menggunakan kepala surat dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya bertarikh 11 Januari.

Surat berkenaan memaklumkan Perdana Menteri telah bersetuju meluluskan peruntukan itu bagi pelaksanaan pembinaan dewan di Parlimen Pagoh dan memohon Jabatan Kerja Raya dilantik sebagai pelaksana projek. -Malaysiapost

Komen