PM tubuh Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat

PM tubuh Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat

Nurul Huda Abhar

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan satu Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat ditubuhkan bagi memastikan pengurusan darurat di seluruh negara berjalan lancar.

Muhyiddin berkata, jawatan kuasa tersebut akan dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Muhyiddin berkata, jawatankuasa teknikal tersebut antara lain akan bertanggungjawab untuk:

  • Memantau isu-isu berkaitan pelaksanaan dan pengurusan darurat;
  • Meneliti dan mengkaji isu-isu berbangkit berkaitan darurat dan mengesyorkan cadangan penyelesaian;
  • Menyelaras pengurusan darurat bersama pihak yang berkaitan di peringkat Persekutuan dan Negeri; dan
  • Mengetuai pemantauan dan naziran penguatkuasaan undang-undang berkaitan darurat di semua peringkat.

“Alhamdulillah pagi tadi saya telah mempengerusikan Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan secara sidang video bersama Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri.

“Sidang berlangsung di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya dengan setiap ahli mesyuarat diasingkan di beberapa bilik di tingkat berlainan di bangunan ini.

“Sidang Darurat bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri adalah yang pertama diadakan selepas Pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bagi membincangkan hala tuju pengurusan darurat di peringkat Persekutuan dan Negeri,” tulisnya di Facebook, hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, jawatankuasa itu juga akan dianggotai oleh lapan ahli tetap iaitu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Peguam Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah Keselamatan Negara dan Ketua Kluster.

“Insya-Allah, saya berharap agar jawatankuasa yang ditubuhkan ini akan mendapat kerjasama dan sokongan di semua peringkat bagi memastikan pengurusan darurat di seluruh negara dapat dilakukan dengan berkesan,” katanya.

Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Baginda turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal. – Malaysiapost

Komen