PM ucap takziah kepada keluarga Tun Salleh Abas

PM ucap takziah kepada keluarga Tun Salleh Abas

Nurul Huda Abhar

TAN Sri Muhyiddin menzahirkan rasa sedih dengan pemergian bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Perdana Menteri juga mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Mohamed Salleh atas kehilangan orang tersayang.

“Semoga mereka tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini.

“Bagi pihak Kerajaan, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan Allahyarham dalam memperkasa dan mengangkat integriti institusi kehakiman sepanjang berkhidmat selaku Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 hingga 1988.

“Sama-samalah kita berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Amin,” katanya, hari ini.

Tokoh perundangan negara itu meninggal dunia jam 3.20 pagi tadi pada usia 92 tahun selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, kelmarin.

Mohamed Salleh yang juga Pengerusi as-Salihin Trustee Berhad menerima rawatan di hospital berkenaan selepas disahkan positif Covid-19. -Malaysiapost

Komen