Calon terlepas peperiksaan awam akibat positif Covid-19, diberi peluang kedua

Calon terlepas peperiksaan awam akibat positif Covid-19, diberi peluang kedua

Nilam Oshman

PELAJAR yang positif Covid-19 dan dikuarantin ketika peperiksaan awam berlangsung akan diberi peluang lain oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menjawab semula kertas soalan itu.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata sekiranya berlaku perkara sedemikian, kementerian akan menyediakan kertas soalan lain buat calon yang tidak dapat hadir peperangan.

“Pihak kementerian mengadakan satu prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan di mana kita menyatakan bagaimanakah menghadapi situasi sedemikian, sama ada calon sihat, bergejala, positif ataupun dikuarantin.

“Bagi pelajar sihat, tentunya mereka akan menduduki peperiksaan seperti ditetapkan manakala calon positif Covid-19 atau dikuarantin, mereka tidak boleh mengambil kertas peperiksaan dalam tempoh itu.

“Tapi selepas tamat kuarantin dan negatif Covid-19, jika masih ada kertas peperiksaan lagi, calon itu masih boleh menjawabnya, namun yang mana dia terlepas (kertas peperiksaan), pihak kementerian akan memberi peluang lain untuk calon itu.

“Kita akan sediakan kertas baharu dan tarikh yang bersesuaian untuk mereka jawab,” katanya ketika bersiaran secara langsung menerusi sidang media dalam talian hari ini.

Ketika ditanya mengenai gesaan supaya gred pemarkahan untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diturunkan kerana pelajar tidak dapat pembelajaran sempurna akibat Covid-19, beliau berkata, ia tetap sama bagi mengekalkan standard pengiktirafan sijil itu.

“Jadi sebarang perubahan kita buat sama ada kaedahnya, kertasnya dan bagaimana pemarkahannya akan menjejaskan pengiktirafan itu, justeru kita tak nak perkara itu berlaku,” katanya. – Malaysiapost

Komen