Jangkitan Covid-19 di tempat kerja semakin menular

Jangkitan Covid-19 di tempat kerja semakin menular

TUJUH lagi kluster baharu Covid-19 dikesan membabitkan tempat kerja dengan keseluruhan 12 kluster baharu dikenal pasti hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata lima kluster lain membabitkan kluster komuniti, kumpulan berisiko dan tahanan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) ingin memaklumkan terdapat 12 kluster baharu yang dikenal pasti hari ini, yang melibatkan tujuh kluster berkaitan tempat kerja, dua kluster komuniti, dua kluster kumpulan berisiko dan satu kluster tahanan.

“Jumlah kluster keseluruhan setakat ini ialah 713 dengan 378 kluster tamat termasuk empat kluster yang tamat hari ini iaitu Kluster Jalan Haruan, Tapak Bina Rimbun, Tapak Bina Pasifik dan Tapak Bina Cendana.

“Jumlah kluster aktif setakat ini ialah 335,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, Selangor melaporkan kes harian Covid-19 baharu tertinggi iaitu 782 kes dengan 73.4 peratus daripadanya adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

Beliau berkata, ia diikuti Johor sebanyak 466 kes (12.8 peratus), dan Sabah 453 kes (12.5 peratus).

“Sebanyak 89 kes (2.5 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (51 kes), Tembok Mempaga (15 kes), Tembok Nanas (12 kes), Penjara Seberang Permai (5 kes), Tembok Renggam (4 kes), dan Tembok Kemus (2 kes),” katanya. – Malaysiapost

Komen