Jepun sumbang peralatan perubatan bernilai RM19 juta

Jepun sumbang peralatan perubatan bernilai RM19 juta

HUBUNGAN antara Malaysia dan Jepun terus dipererat melalui sumbangan peralatan perubatan bernilai RM19 juta daripada negara matahari terbit itu.

Dalam perkembangan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menyempurnakan sesi menandatangani pertukaran nota antara kerajaan Malaysia dan Jepun secara maya di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) melalui satu kenyataan memaklumkan dalam sesi secara virtual itu, kerajaan Jepun diwakili Dutanya di Malaysia, Oka Hiroshi, manakala Dr Adham mewakili bagi pihak Malaysia.

“Sesi itu membuktikan hubungan rapat dua hala yang sedia terjalin melalui sumbangan peralatan perubatan bernilai RM19 juta yang akan dapat membantu Malaysia memperkukuh persediaan dan kesiapsiagaan terutama keupayaan fasiliti kementerian.

“Ini akan dapat membantu usaha kementerian dalam menghadapi ancaman dan menyelamatkan nyawa semasa pandemik Covid-19,” menurut kenyataan yang dikongsi di laman Facebook KKM.

Sesi itu adalah perjanjian antara Malaysia dan Japan International Cooperation System bagi penerimaan geran peralatan perubatan sumbangan kerajaan Jepun.

Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. – Malaysiapost

Komen