Keselamatan pelajar MRSM terjamin

Keselamatan pelajar MRSM terjamin

IBU bapa pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara tidak perlu bimbang akan keselamatan anak mereka berikutan seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di MRSM Lipis disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Pengerusi Mara, Datuk Azizah Mohd Dun berkata pihaknya mengambil langkah pencegahan serta sentiasa berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkaitan permasalahan kesihatan pelajar.

“Nasihat saya kepada semua ibu bapa, mereka boleh menghubungi pengurusan maktab jika timbul sebarang kebimbangan tentang anak-anak mereka.

“Pihak Mara peka dan sentiasa mengambil berat mengenai hal ehwal pelajar yang sedang berada di maktab sepanjang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya seperti dilapor Bernama hari ini.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang sebelum ini memaklumkan 144 pelajar MRSM Lipis dikuarantin selepas seorang pelajarnya positif Covid-19 Selasa lalu.

Daripada jumlah itu, 142 pelajar perempuan menjalani kuarantin di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan tempatan (I-KPKT) Bukit Tinggi manakala dua pelajar lelaki di asrama berkenaan, dan tiga daripada pelajar yang dikuarantin di I-KPKT disahkan positif Covid-19 dan dihantar ke hospital.

Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata ketika ini, Mara telah membenarkan 8,106 pelajar MRSM Tingkatan 5 (tahun 2020) untuk kembali ke asrama pada 9 Januari lalu untuk mengikuti pembelajaran secara bersemuka bagi menduduki SPM.

“Pelajar ini perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MKN sebelum pulang ke MRSM manakala ibu bapa yang menghantar anak hanya diberi 30 minit dengan hanya seorang penjaga dibenar turun mengangkat barang dan tidak dibenar memasuki asrama.

“Sepanjang berada di maktab pula, pelajar perlu mengikuti SOP asas meliputi saringan suhu bagi mengenal pasti pelajar yang bergejala sebelum bermula pembelajaran dan pengajaran oleh guru yang bertugas.

“Maktab juga mengikuti garis panduan pembukaan sekolah dengan SOP yang ketat diamalkan untuk semua MRSM seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, mencuci tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi,” katanya. – Malaysiapost

Komen