PKPD di Blok Tahanan, Kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas

PKPD di Blok Tahanan, Kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas

KERAJAAN melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Blok Tahanan dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian mulai esok hingga 5 Februari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia susulan penularan kes positif Covid-19 di kawasan tersebut yang membimbangkan.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 360 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 177 kes positif Covid-19 direkodkan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk mengawal pergerakan masuk tahanan dari luar serta mengelak penularan jangkitan kepada staf, keluarga serta komuniti luar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata polis membuat 56,935 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Katanya, seramai 660 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 621 individu dikompaun manakala 39 lagi direman.

“Kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (228), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (121), tiada penjarakan fizikal (96), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (54), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (63) dan lain-lain (98),” katanya. – Malaysiapost

Komen