Ebit Lew diarah henti misi bantuan di Semporna?

Ebit Lew diarah henti misi bantuan di Semporna?

PENDAKWAH bebas, Ebit Lew terpaksa menghentikan misi menyampaikan bantuan kepada penduduk di Semporna, Sabah setelah beberapa hari berbuat demikian. 

Perkembangan itu dimaklumkan beliau menerusi satu hantaran di Facebooknya sebentar tadi. 

“Sayu hati. Saya minta maaf pada penduduk di pulau-pulau di Semporna yang saya Islamkan. Saya tidak dapat lagi meneruskan misi bantuan. Saya tangguhkan niat bina sekolah. 

“Pagi ini saya dimaklumkan saya tidak dibenarkan untuk ke pulau-pulau di Semporna. Minta diberhentikan bantuan di sekitar sini. Saya diberitahu antara hukuman boleh dikenakan didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun,” katanya. 

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan siapa yang mengeluarkan arahan agar tidak meneruskan misi bantuan berkenaan. 

Ebit juga memberitahu terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat untuk kegunaan masyarakat setempat yang telah dirancang. 

“Saya dah beli kayu-kayu. Saya dah kumpul tujuh guru. Semangat mereka nak mendidik dan menjadi sumber pendapatan mereka. Saya minta maaf ya ustaz ustazah semua. 

“Tadi ramai menangis sedih termasuk anggota (keselamatan) yang patutnya bawa kami ke pulau-pulau. Saya terharu sifat baik dan kasih sayang orang Sabah. 

“Macam keluarga sendiri. Sayang semua seperti mereka sayang saya. Saya sayang semua. Saya maafkan semua. Saya tidak berkecil hati, perjuangan diteruskan,” katanya lagi. 

Susulan itu, Ebit berkata beliau akan terus ke Tawau dan menunggu penerbangan pulang. 

“Terima kasih semua. Sehingga berjumpa lagi jika ditakdirkan Allah. Saya serahkan segala urusan kepada Allah. Cukuplah kepada Allah orang mukmin itu berserah. 

Menerusi hantaran di Facebooknya semalam, Ebit berkata beliau telah mengislamkan 490 masyarakat Bajau Laut yang tinggal di empat perkampungan atas air di daerah tersebut. 

Ebit atau nama sebenar Ebit Irawan Ibrahim berkata masyarakat di kawasan itu hidup di perkampungan atas air dan hanya sekali sekala sahaja naik ke darat. 

Katanya lagi, masyarakat Bajau Laut tidak beragama, dan tidak mengetahui berkenaan kewujudan tuhan. 

Kelmarin, Ebit memaklumkan seramai 157 masyarakat suku Bajau Laut atau dikenali gipsi laut membuat keputusan memeluk Islam yang mana beliau sendiri menyaksikan dan mengajar mereka melafazkan syahadah.

Pemilik cawangan Elews Mart turut bercadang membina tiga sekolah untuk kegunaan pendidikan masyarakat Bajau Laut. 

Jelasnya, pembinaan sekolah tersebut dijangka mengambil masa sebulan dan akan menampung dari segi kos gaji guru yang akan mengajar. – Malaysiapost 

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/02/ebit-lew-islamkan-490-penduduk-bajau-laut/

Komen