Pemilik anjing dilastik posmen buat laporan polis

Pemilik anjing dilastik posmen buat laporan polis

PEMILIK anjing yang cedera di mata akibat dilastik kakitangan Pos Malaysia di Kluang, Johor, telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

“Polis kata mereka akan datang ke rumah saya untuk menyiasat… ambil beberapa gambar dan gelang getah tersebut,” kata Sivakumar Marimuthu seperti dilaporkan portal FMT.

“Saya membawa anjing saya ke klinik haiwan sekitar jam 12 tengah hari tadi dan belum ada berita mengenai penglihatannya,” kata Sivakumar.

Kata lelaki berusia 41 tahun itu, dia membela anjingnya yang dikenali sebagai John sejak 10 tahun lalu.

Dalam video CCTV selama 21 saat yang disiarkan di laman Facebook Malaysian Independent Animal Rescue semalam, seorang kakitangan Pos Malaysia yang menaiki motosikal dilihat sedang memerhati anjing milik Sivakumar, dalam pekarangan rumahnya.

Posmen yang berada di luar pagar rumah itu kemudian menggunakan sesuatu yang kelihatan seperti lastik dan melastik ke arah mata anjing terbabit.

Sivakumar berkata, kejadian itu berlaku ketika posmen terbabit menghantar surat yang perlu ditandatangani oleh isterinya. Selepas posmen membunyikan loceng, anjing Sivakumar meluru ke luar ke pekarangan rumah sebelum dilastik.

Sivakumar berkata, isterinya tidak melihat posmen itu melastik anjingnya, tetapi melihat haiwan itu “lari kesakitan”. Dia kemudian menandatangani surat itu, dan terus memeriksa keadaan anjingnya.

Menyedari ada yang tidak kena, dia memberitahu Sivakumar yang kemudiannya memeriksa CCTV.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pos Malaysia berkata, pihaknya telah menggantung tugas posmen terbabit sementara menunggu hasil siasatan berhubung insiden itu.

Kesal dengan tindakan individu tersebut, Pos Malaysia berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap salah laku kakitangannya termasuk menamatkan perkhidmatan.

“Kami tidak memandang ringan kekejaman terhadap haiwan,” kata Pos Malaysia.

Sivakumar berkata, beberapa pegawai Pos Malaysia berkunjung ke rumahnya pagi tadi untuk membincangkan kejadian itu dan Pos Malaysia akan menyelesaikan semua bil perubatan anjingnya.

Tambahnya, mereka juga berharap dia tidak akan membawa perkara itu ke mahkamah.

“Saya memberitahu mereka bahawa saya akan membuat laporan polis terlebih dahulu,” katanya sambil menambah sebarang tindakan mahkamah yang diambil bersama Rajesh Nagarajan seorang ahli kumpulan Peguam untuk Hak Haiwan, dan pengasas MIAR, Puspa Rani Thanabalasingam, akan ditentukan kemudian.

Menurut Rajesh, kenyataan Pos Malaysia mengenai kejadian itu “tidak mencukupi”.

Sambil menegaskan bahawa posmen terbabit telah melakukan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kesejahteraan Haiwan, Rajesh menuntut Pos Malaysia turut membuat laporan polis dan membiarkan keadilan ditentukan oleh mahkamah. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

Komen