Sidang Parlimen perlu diadakan walaupun darurat

Sidang Parlimen perlu diadakan walaupun darurat

TIGA Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang menyertai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 berpendirian bahawa persidangan Parlimen seharusnya diadakan dalam masa terdekat walaupun darurat masih berkuat kuasa.

Menerusi kenyataan, ketiga-tiga mereka berkata, persidangan Parlimen boleh diadakan tertakluk kepada segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti yang telah pun dilaksana sepanjang sidang Parlimen pada 2020.

“Persidangan Parlimen adalah sangat penting untuk memastikan segala agenda dan langkah-langkah untuk membendung Covid-19 dapat dibahaskan oleh Ahli-Ahli Parlimen selain memastikan semak dan imbang terhadap segala keputusan yang dibuat oleh pihak ekskutif.

“Keputusan untuk mengembalikan persidangan Parlimen juga akan memberikan keyakinan kepada dunia luar dan pelabur asing bahawa Malaysia tetap komited terhadap sistem demokrasi berparlimen dan prinsip kedaulatan undang-undang,” kata kenyataan terbabit.

Menerusi kenyataan itu juga, mereka memaklumkan akan menyampaikan pandangan itu secara konsisten di mesyuarat Jawatankuasa Khas Bebas Darurat dan berharap ia akan dipersetujui oleh ahli-ahli Jawatankuasa tersebut sebagai pendirian bersama Jawatankuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Bharu); Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Anthony Loke (Seremban). -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

Komen