Timbalan Menteri nafi tuduhan ulang alik ke New Zealand

Timbalan Menteri nafi tuduhan ulang alik ke New Zealand

TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Edmund Santhara Kumar menafikan tuduhan beliau berulang alik ke New Zealand sejak Disember lalu serta mengabaikan tanggungjawab dalam kerajaan dan Ahli Parlimen.

Sebaliknya, beliau menjelaskan telah memohon cuti selama 55 hari bekerja melalui Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bagi mendapatkan kelulusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu surat pada 3 Disember 2020.

Susulan itu, katanya, permohonan itu telah disokong oleh Menteri Wilayah Persekutuan pada 10 Disember lalu dan diluluskan Perdana Menteri pada 18 Disember.

Selain itu, Santhara menjelaskan beliau telah mematuhi prosedur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) supaya memohon kebenaran untuk keluar negara (MyTravelPass) secara dalam talian telah dikemukakan pada 30 Oktober dan diluluskan pada 2 November. 

“Setelah memastikan setiap prosedur dipatuhi dan semua kelulusan diperolehi, pada 23 Disember 2020, selepas menghadiri mesyuarat, saya telah ke luar negara dan menjalani kuarantin di New Zealand bermula daripada 24 Disember hingga 9 Januari 2021.

“Tujuan saya keluar negara adalah bagi melawat anak-anak saya di New Zealand, khususnya anak saya yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

“Selain itu, sebagai bapa bertanggungjawab, saya perlu untuk bertemu dengan anak yang berusia sembilan tahun bagi menjalankan tanggungjawab sebagai bapa sepanjang cuti rehat tersebut setelah hampir setahun tidak berjumpa.

“Di samping itu, saya perlu melawat isteri yang mengalami masalah kesihatan. Sebagai tambahan, upacara anak saya yang berumur sembilan tahun untuk menerima holy communion juga tidak dapat saya hadiri kerana sentiasa sibuk dengan tugas sebagai Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen,” katanya menerusi kenyataan.

Semalam, Ahli Parlimen Batu dari PKR, P Prabakaran bertanya tentang keberadaan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, susulan laporan yang mendakwa beliau berada di New Zealand untuk bersama keluarga sejak Disember 2020.

Prabakaran seterusnya meminta Santhara segera memberi penjelasan, jika dakwaan laman Sarawak Report itu benar.

Jika dakwaan itu benar, beliau juga mendesak Santhara meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Segamat serta memulangkan gaji dan elaun yang diterima sejak berada di sana.

Mengulas lanjut, Santhara berkata, selaras dengan Kerajaan Prihatin dibawa Perdana Menteri, komitmen beliau terhadap tugas dan tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen Segamat sentiasa menjadi keutamaan.

“Saya telah menghadiri setiap hari persidangan Dewan Rakyat dengan rekod kehadiran 100 peratus. Saya juga telah menghadiri persidangan Dewan Negara untuk penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada 22 Disember 2020.

“Selain itu, setelah dilantik sebagai Timbalan Menteri pada 10 Mac 2020, saya tidak pernah memohon cuti rehat, tidak pernah bercuti pada hujung minggu atau cuti peristiwa mahupun cuti perayaan, atau mendapatkan cuti sakit.

“Ini bagi memastikan saya sentiasa dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat dalam mendepani setiap isu berkaitan Covid-19 dan isu-isu rakyat di Wilayah Persekutuan dan Parlimen Segamat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 2020,” katanya.

Santhara juga menegaskan laporan media yang mendakwa beliau telah keluar negara sebelum PKP 2.0 adalah tidak benar, malah tidak keluar dan masuk atau ulang alik ke Malaysia seperti yang dinyatakan Prabakaran menerusi Facebook miliknya.

Beliau juga memaklumkan akan berbincang dengan peguamnya setelah kembali ke Malaysia, berkaitan tuduhan fitnah palsu yang dilemparkan kepadanya.

“Laporan polis juga akan dibuat terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab kerana melemparkan tuduhan palsu dengan niat yang jahat dan mengelirukan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen