Cubaan bunuh Tun M: PH tuntut penjelasan Muhyiddin
MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) kesal terhadap tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak memaklumkan mengenai wujudnya rancangan menyerang para pemimpin negara pada 2020.
Dalam kenyataan bersama, Majlis Presiden PH berkata pendedahan pegawai kanan Bukit Aman mengenai rancangan serangan ganas itu berlaku ketika Muhyiddin berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri (KDN).
“Kami kesal di atas sikap Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang merupakan Menteri Dalam Negeri pada waktu itu, yang gagal memaklumkan perkara ini kepada pimpinan Pakatan Harapan serta rakyat Malaysia amnya. Kegagalan tersebut menimbulkan persoalan motif sebenar perkara ini disembunyikan daripada pengetahuan pemimpin berkenaan dan kerajaan Pakatan Harapan,”kata kenyaataan itu, lewat malam semalam.
Ia ditandatangani Pengerusi PH merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Pada masa sama, Majlis Presiden PH berkata mereka mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan kerana bertindak pantas dan tegas menggagalkan cubaan tersebut.
Namun katanya sikap Muhyiddin yang tidak memaklumkan mengenai ancaman tersebut menimbulkan tanda tanya.
“Oleh itu, kami menggesa Muhyiddin untuk memberikan penjelasan di atas perkara ini pada kadar segera,” katanya.
Semalam, seorang Pegawai Kanan Bukit Aman mendedahkan Cawangan Khas Counter Terorisme (E8) menahan seorang lelaki yang mengaku merancang untuk melakukan serangan ke atas beberapa pemimpin utama kerajaan ketika kerajaan PH memerintah.
Menurut Penolong Pengarah E8, Azman Omar, lelaki terbabit ditangkap pada Jan 2020 dan mengaku merancang mahu menyerang Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof serta Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.
Bagaimanapun rancangan itu dapat ditumpaskan apabila lelaki terbabit ditangkap – Malaysiapost