73 peratus pengguna sudah terima bekalan air

73 peratus pengguna sudah terima bekalan air

SEBANYAK 73 peratus akaun pengguna yang terjejas sudah menerima bekalan air di tiga wilayah iaitu Petaling, Klang dan Shah Alam sehingga jam 6 petang tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, lapan daripada 31 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air berjadual berhubung kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam sudah
mencapai pemulihan sepenuhnya petang tadi.

Katanya, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

“Sehubungan itu, Air Selangor berharap pengguna yang sudah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat.

“Ini bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan proses pemulihan bekalan air di kawasan terjejas dari semasa ke semasa melalui semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor termasuk laman sesawang www.airselangor.com, aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. -Malaysiapost

Komen