Dulu tangguh juga pemilihan, tapi PRU lingkup – KJ

Dulu tangguh juga pemilihan, tapi PRU lingkup – KJ

AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menolak tanggapan bahawa pemilihan Umno boleh menyebabkan perpecahan sehingga menjejaskan parti apabila menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU).

Itu kenyataan balas beliau kepada bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan pemilihan parti itu sebelum PRU-15 boleh membawa keretakan dan perpecahan dalam parti, selain menyebabkan calon yang kalah ‘dicuri’ oleh parti lain.

“Ini antara hujah yang dikemukakan oleh Datuk Seri Najib tapi saya nak jawab.

“Pada 2018 kita tangguhkan pemilihan parti selepas PRU-14 tapi lingkup (kalah) juga,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata demikian dalam sidang media Majlis penyerahan penugasan Sukarelawan Khidmat Sokongan Malaysia Vaccine Support System (MYVAC) di kementeriannya hari ini.

Sebelum ini, Khairy berkata, Umno perlu menyegerakan pemilihan parti itu sebelum PRU15 untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti sejak beberapa bulan lalu.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut bersetuju agar pemilihan parti diadakan segera.

Katanya, ia bagi membuka jalan untuk mencorak hala tuju parti itu di masa akan datang.

“Itu (perpecahan) selalunya yang dimainkan tapi kita sudah lalui sama ada sebelum atau selepas (PRU) ia tetap memerlukan pemilihan.

“Kita asyik sebut bertahun-tahun Umno parti yang matang maka inilah masa kita tunjukkan kematangan.

“Pemilihan ini bagi mencorakkan hala tuju parti dan mengembalikan hak kepada ahli-ahli yang telah sampai tempohnya,” katanya. – Malaysiapost

Komen