‘Orang kalau nak bercerai dah tak duduk serumah’ – Shahidan

‘Orang kalau nak bercerai dah tak duduk serumah’ – Shahidan

SAYA keliru, kata Pengerusi Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mengenai kedudukan Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) memandangkan hubungan itu akan terlerai apabila tiba Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Shahidan yang sebelum ini mahu Umno meneruskan kerjasama dengan Bersatu dan PAS pada PRU15 menjelaskan beliau keliru kerana Umno akan bercerai daripada kerajaan PN apabila tiba pilihan raya, namun sekarang sudah mula bermusuh. 

“Umno masih belum bercerai (dengan PN), kita hanya bercerai bila pilihan raya. Jangan sekarang dah bermusuh, kita akan bermusuh bila pilihan raya, sekarang ni berkawan. 

“Jadi cuma saya tak berapa faham cara kawan macam ni, lagi tiga bulan kita akan bermusuh itu saya tak berapa faham, Kalau orang nak bercerai, tiga bulan dah tak duduk serumah. 

“Tapi kita tiga bulan lagi nak bercerai duduk serumah lagi, itu yang menyebabkan saya ‘confuse’, eloklah berunding dulu,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini. 

Sementara itu, Shahidan menafikan tuduhan kononnya beliau adalah ‘broker’ yang memancing Ahli Parlimen Umno menyokong kerajaan PN. 

Jelas Ahli Parlimen Arau itu, Umno dan PN “masih belum bercerai” dan dia akan terus berkawan dengan pemimpin Bersatu. 

“Bila saya berkawan (dengan Bersatu), dituduh saya ejen dan ‘broker’, saya tak perlu jadi ‘broker’, saya lebih hebat daripada ejen-ejen ‘broker’ yang ada dekat Perhimpunan Agung Umno (PAU). 

“(UMNO) Setuju ‘cerai’ PRU, sekarang masih bernikah dan saya akan terus berkawan dengan mereka. Saya yakin sekarang orang tengok saya macam musuh,” katanya. 

Pada PAU baru baru ini, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usul memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu yang menerajui kerajaan PN  dipersetujui sebulat suara perwakilan parti yang menghadiri persidangan itu. 

Menurut Ahmad Zahid, Umno menetapkan garis masa pada Ogos ini untuk menarik diri daripada terus menyokong kerajaan PN. 

Dalam pada itu Shahidan berkata PAS perlu menyatakan pendirian mereka dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) selepas menyatakan pendiriannya untuk bersama Bersatu dalam PN bagi menghadapi PRU15. 

“PAS masih berunding dengan Umno dalam MN. PAS isytihar bekerjasama (dengan Bersatu) sebelum runding dengan Umno tak wajar, sebab PAS ada piagam dengan Umno (dalam MN). 

“PAS perlu beritahu apa syarat mereka untuk terus kerjasama (dengan Umno), jadi PAS elok menyatakan pendirian mereka tentang MN,” katanya. 

Terdahulu, Bersatu dan PAS dalam satu kenyataan hari ini berkata kedua-duanparti itu akan terus mengukuhkan kerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU ke-15 nanti. Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung PAS dan Bersatu, Datuk Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Hamzah Zainudin. – Malaysiapost

Komen