Parti arah bulan Jun kena buat pemilihan, ikutlah arahan parti

Parti arah bulan Jun kena buat pemilihan, ikutlah arahan parti

Najamuddin Mohd Nor 

UMNO tidak perlu menangguhkan pemilihan parti, sebaliknya proses itu perlu diadakan berdasarkan Perlembagaan Umno. 

Bagaimanapun Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Majlis Tertinggi (MT) mempunyai pilihan untuk menangguhkannya sehingga 18 bulan. 

“Saya nak bagitahu apa kena mengena hal kerajaan dengan parti. Parti ada undang-undang, parti punya arahan bulan enam (Jun) kena buat pemilihan, ikutlah arahan parti. 

“Tapi kalau kita tak nak buat, kita mintalah kebenaran RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan). Minta RoS tangguh 18 bulan, itu boleh,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini. 

Ditanya sama ada perlukah pemimpin Umno yang berjawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan diadakan segera, Shahidan menegaskan ia tiada kaitan antara parti dengan kerajaan. 

“Ini saya tak faham dengan soalan atau saranan ini, apa kena mengena hal parti dengan kerajaan? 

“Ia tak ada kena mengena dengan PN, PN ini dibentuk oleh Ahli Parlimen. Jadi tak ada kena mengena. 

“Bagi saya pemilihan elok dibuat mengikut Perlembagaan. Saya tak setuju kata (pemilihan) awal,” katanya. 

Semalam, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berpendapat hanya ada satu cara untuk menyelesaikan kemelut dalaman Umno iaitu mengadakan pemilihan parti pada tahun ini. 

Katanya, pemilihan Umno perlu dilaksanakan mengikut jadual sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. – Malaysiapost

Komen