Pilu PAS, Bersatu perbaharui kerjasama, sebaliknya Umno menolak

Pilu PAS, Bersatu perbaharui kerjasama, sebaliknya Umno menolak

BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa pilu melihat PAS dan Bersatu memperbaharui iltizam mengikat kerjasama ke arah
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), namun Umno pula isytihar perpecahan demi perpecahan.

Jelas beliau, mereka begitu konsisten berjuang dan meletakkan agenda penyatuan di hadapan.

“Nada yang dulunya digarap bersama satu ketika dulu. Apapun saya tidak akan berputus asa.

“Dengan saki-baki kudrat yang masih ada, saya istiqamah berjuang atas paksi membawa Umno dalam jajaran asal, berpaksikan penyatuan parti-parti Melayu bersama parti sahabat yang lain untuk menentang PH dan yang bersama mereka.

“Walau berliku, perjuangan menyatupadukan ummah dengan berpegang pada tali Allah dan jangan bercerai-berai, ia akan terus dipikul, dikelek dan dijunjung,” katanya menerusi Facebook.

Bagaimanapun, tegas beliau, hubungan baik dan gerak perjuangan akan diteruskan dengan semua 13 parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Tidak mungkin bergerak sendirian, apalagi bertempur sesama parti Melayu yang hanya menguntungkan parti sosialis DAP dan liberalis PKR,” katanya. -Malaysiapost

Komen