PRU-15: Peluang PAS menang kerusi lebih tinggi jika bersama UMNO – Zamil

TIMBALAN Presiden Kelab Pendokong Penyatuan Ummah Malaysia (KPPUM), Datuk Zamil Ibrahim berpandangan PAS mampu memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika bekerjasama dengan Umno berbanding Bersatu.

Jelasnya, masa depan PAS akan lebih cerah, khususnya untuk menguasai kawasan majoriti Melayu jika ia memilih bersama Umno, memandangkan sokongan akar umbi parti itu terhadap PAS lebih kuat berbanding Bersatu.

“Tidak ada jaminan PAS boleh menambah kerusi kalau mereka bertanding tanpa sokongan Umno.

“Sebaliknya, Umno boleh menang lebih banyak kerusi Melayu, sekalipun tanpa kerjasama dengan PAS khususnya di Pantai Barat berdasarkan keputusan PRU-14, malah PAS boleh menyusut bilangan kerusinya berbanding PRU-14,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pertembungan antara Umno dan Bersatu juga belum tentu akan menguntungkan PAS dan kelebihan di sesetengah kawasan mungkin akan berpihak kepada Umno.

“Umno boleh menang lawan Bersatu kerana undi Melayu berpecah. PKR, DAP dan pengundi Cina pasti tidak sokong Bersatu, begitu juga PAS.

“Justeru, kerjasama Umno dan PAS juga mempu menafikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dengan mudah di kawasan majoriti Melayu.

“Malah, di kawasan campuran juga PH belum tentu boleh menang jika berlaku pertandingan tiga penjuru antara PN, BN dan parti itu jika Umno/BN-PAS bekerjasama kerana sokongan kepada PH tidak sama seperti PRU-14,” katanya. -Malaysiapost

Komen